KEBERKESANAN PENGGUNAAN FROG VLE TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KOMPONEN SASTERA DALAM MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU MURID SEKOLAH MENENGAH

Main Article Content

Azhar Md Sabil
Shamsudin Othman
Abdul Rasid Jamian
Rozita@Radhiah Said

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk melihat keberkesanan penggunaan Frog Virtual Learning Environment (Frog VLE) terhadap pengajaran dan pembelajaran komponen sastera Bahasa Melayu (komsas) dalam kalangan guru dan murid sekolah menengah. Kajian terhadap pelaksanaan Frog VLE ini adalah untuk melihat keberkesanannya dalam meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran murid serta menjadikan platform pembelajaran bertaraf dunia dengan akses kepada sumber dan teknologi sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025. Sebanyak empat orang guru dan lapan murid daripada empat buah sekolah yang dipilih sebagai sampel kajian ini, iaitu yang terdiri daripada dua buah sekolah bandar dan dua buah sekolah di luar bandar. Sampel kajian dipilih oleh pengkaji sendiri kerana reka bentuk kuasi eksperimen merupakan kumpulan tidak rawak (Chua Yan Ping, 2006). Dengan Frog VLE, pendidikan tidak lagi terbatas dalam bilik darjah tradisional, iaitu yang berpusatkan guru (Roselan Baki, 2003). Pembelajaran boleh dilakukan di mana jua, pada bila-bila masa. Sistem Frog VLE yang mudah digunakan ini membolehkan pelajar dan guru untuk menemui hampir segala-galanya di Internet (video, gambar, bahan pendidikan) dan membinanya menjadi sebuah laman yang menarik, tanpa memerlukan sebarang kepakaran teknikal. Frog VLE juga adalah gerbang kepada limpahan sumber pengajaran dan aplikasi hebat dari seluruh web, yang kesemuanya boleh diakses dalam persekitaran yang selamat dan telah ditapis. Kajian kualitatif ini dijalankan secara temu bual berstruktur dengan menggunakan protokol temu bual sebagai instrumen kajian. Dapatan awal kajian menunjukkan bahawa guru kurang mengaplikasikan Frog VLE, walaupun mereka amat yakin bahawa penggunaan Frog VLE ini dapat membantu pengajaran dan pembelajaran serta memotivasikan murid untuk menjalai pembelajaran dengan lebih baik dan menyeronokkan.. Namun, tidak semua guru selesa menjalankannya kerana terdapat masalah dan kekangan yang dihadapi guru semasa mengaplikasikannya. Bagi murid pula, mereka begitu bermotivasi namun ketidakcekapan dalam pengurusan aplikasi tersebut turut mengekang penggunaannya secara berterusan.

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

Section
Articles