IDENTITI DAN INDIVIDUALITI PEREMPUAN MELAYU DALAM HIKAYAT SYAMSUL ANUAR THE INDIVIDUALITY OF MALAY WOMEN IN HIKAYAT SYAMSUL ANUAR
Main Article Content
Abstract
Imej perempuan Melayu dalam sastera Melayu lama banyak dikaji dan pelbagai tafsiran ditemukan. Terdapat kajian yang membela kedudukan mereka dan ada yang sebaliknya. Kajian-kajian lain pula mendapati perempuan dijadikan sebagai hadiah dan pemuas nafsu dalam kerajaan Melayu lama. Kesan imej seperti ini dibesar-besarkan sehingga menyingkir kebolehan perempuan yang lain. Tanggapan seperti ini banyak dikritik feminis dunia ketiga kerana bercitrakan orientalis. Wacana sebelumnya mengatakan perempuan Melayu itu antaranya tidak mampu membela nasibnya, lemah dan tidak berkuasa tetapi beberapa himpunan hikayat yang dikaji di sini mampu menunjukkan kemampuan perempuan yang menentukan hidup mereka sendiri. Justeru, kajian ini ingin melihat perubahan yang berlaku pada imej perempuan pada pinggir abad ke-19 melalui Hikayat Syamsul Anuar yang ditulis oleh pengarang wanita yang membezakannya dengan hikayat Melayu lama terdahulu, iaitu imej individualitinya. Imej ini tentulah menarik untuk dibahaskan terutamanya dalam banyak wacana yang membicarakan wanita dan kolektivisme. Hanya beberapa hikayat sahaja dipilih sebagai bandingan kerana keterbatasan individu dari segi masa dan tenaga. Peranan perempuan sering diketepikan bukan sahaja dalam konteks sejarah, tetapi juga dalam teks. Dapatan menunjukkan perempuan Melayu telah lama mempunyai identiti dan individualiti dengan wacana dan wahananya sendiri dalam menentukan nasib diri dan juga bangsa. Walaupun salah satu ciri sastera Melayu lama tidak terkecuali daripada mitos, namun hal ini tidak akan mengurangi nilai-nilai sejarah yang terkandung di dalamnya. Kajian ini diharap dapat menjadi perintis kajian lanjutan dengan menggunakan kekayaan manuskrip lama yang lain.